Pemain-pemain Perak berjanji akan bangkit semula bagi memburu kemenangan dalam perlawanan Piala Presiden menentang Negeri Sembilan di Ipoh petang ini.
Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, para pemain mahu melupakan kedukaan kekalahan 0 - 5 kepada Pahang dan berazam mencatat kemenangan manis.
Kekalahan itu merupakan catatan hitam bagi Perak kerana rekod tanpa kalahnya sejak 16 perlawanan lalu berkecai.
"Jangan fikirkan kekalahan tersebut dan pandanglah ke depan kerana banyak perlawanan yang perlu ditempuhi,'' pinta Abu Bakar.
Beliau berharap kekalahan itu akan menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain supaya tidak memandang rendah terhadap mana-mana pasukan.
"Mereka perlu memberi komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan agar tidak kehilangan mata,'' jelasnya.
Perak masih berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 38 mata setelah bermain 17 perlawanan.
Sebelum ini, ketiadaan empat tonggak utama iaitu Norhakim Mohd Isa, Hamizul Izaidi Zulkifli, Kamalrul Hesam Mohd Kadri dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin turut dikaitkan dengan kekalahan tersebut.
Abu Bakar memberitahu Norhakim dan Kamalrul Hesam akan diturunkan bagi menguatkan semula jentera serangan Perak.
Norhakim dan Kamalrul Hesam masing-masing menjaringkan empat gol untuk Perak.
Jurulatih itu percaya para pemain Perak mampu menunaikan janji bagi mengutip mata yang dikehendaki dan seterusnya mengukuhkan kedudukannya di tangga kedua.
|
|