peraknews logo
Tuesday, 21 May 2013   11. Rejab 1434

perakfaPerak mempamerkan persembahan yang menarik tetapi Lions XII mencatat kemenangan 2 - 1 dalam saingan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura malam semalam.

Kemenangan tersebut mengekalkan Lions XII sebagai pendahulu liga dengan mengumpul 33 mata setelah bermain 15 perlawanan.

Perak kekal di tangga ketujuh liga dengan 19 mata daripada 13 perlawanan yang dilaluinya. 

Pemain-pemain Perak berjaya mengimbangi corak permainan Lions XII pada separuh masa pertama dengan melakukan beberapa serangan berbahaya.

Gandingan penyerang berpengalaman, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang import, Lazar Popovic gagal memecah kekebalan pintu gol Lions XII bagi menjaringkan gol.

Walaupun Perak dihadiah empat sepakan bebas tetapi gagal disempurnakan oleh Michal Kubala dan Shahrul Nizam Mustafa ke dalam gawang Lions.

Pintu gol Perak yang dikawal Khairul Amri nyaris dibocori oleh Lions XII pada minit ke-32 melalui Khairul Nizam tetapi palang gol menghalang tandukan penyerang tersebut.

Akhirnya, gol yang dinantikan oleh Lions XII menjelma apabila pengadil mendapat sepakan penalti setelah Mohd Syazwan menjatuhkan Khairul Nizam.

Sepakan penalti itu disempurnakan oleh Shahdan Sulaiman menumpaskan penjaga gol Perak, Khairul Amri pada minit ke-42.

Pada awal separuh masa kedua, Perak kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti apabila bola yang dikawal oleh Akmal Rizal terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Lions XII.

Namun begitu, sepakan panalti yang diambil oleh Kubala agak mencemaskan kerana sepakan pertamanya sempat ditampan oleh penjaga gol, Hyrulnizam Jumaat.

Walau bagaimanapun bola yang ditampan itu menggolek semula ke kaki Kubala lalu dirembatnya masuk bagi gol penyamaan pada minit ke-50.

Selepas itu, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan menarik tetapi masih gagal memecah kebuntuan untuk menjaringkan gol.

Akhirnya, hasrat Perak membawa pulang sekurang-kurang satu mata dari seberang Tambak Johor berkecai apabila Irwan Shah menguis masuk bola di tepi tiang gol bagi gol kedua Lions XII pada minit ke-89.

Add your comment

Your name:
Your email:
Comment:
  The word for verification. Lowercase letters only with no spaces.
Word verification: