Para pemain Perak beranggapan bermain di atas padang rumput tiruan dalam perlawanan Liga Super berdepan Lions XII pada malam Ini sebagai cabaran baru.
Oleh itu, Perak berlepas lebih awal ke Singapura bgi menjalani latihan di atas padang rumput tiruan agar tidak menghadapi sebarang kesukaran.
Pemain tengah, Fahrul Razi Kamaruddin berkata bermain di atas padang rumput tiruan agak berbeza dengan padang rumput asli.
"Bola bergerak laju di atas pada rumput tiruan yang mana setiap pemain perlu berhati-hati supaya tidak kehilangan bola,'' jelas Fahrul Razi.
Oleh itu, katanya, mereka perlu bekerja keras dan meningkatkan usaha bagi membawa pulang mata dari Singapura.
Selain itu, para pemain Perak juga berdepan cabaran kekuatan Lions XII yang sedang mendahului 13 pasukan lain setelah mengumpul 30 mata.
Perak pula menduduki tangga ketujuh liga dengan mengumpul 19 mata daripada 12 perlawanan.
Kekuatan Lions dijangka sukar digugat apabila Perak tumpas 1 - 2 di Ipoh dalam pusingan pertama pada 14 Februari lalu.
Jentera serangan Perak yang diketuai oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersama-sama penyerang import,Lazar Popovic dan Mohd Failee Ghazali perlu lebih kreatif bagi mendapatkan gol.
Mereka perlu bekerja keras bagi mengakhiri kemarau gol yang terus menghantui skuad Seladang sejak beberapa perlawanan lalu.
Popovic akan terus menyarung jersi Perak sehingga akhir bulan ini perlu membuktikan bahawa beliau mampu menjaringkan gol seperti mana yang tercatat dalam resumenya kepada Perak.
Pihak pengurusan skuad Seladang menangguhkan penamatan kontrak Popovic sementara waktu kerana masih tercari-cari penyerang pengganti.
Usaha mendapatkan penyerang dari kelab Pune FC, India, Keita Mandjou menemui jalan buntu kerana kelab berkenaan enggan melepaskannya.
Oleh itu, Perak perlu bertindak pantas bagi mendapatkan pemain import baru kerana Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) sudah membuka tingkap perpindahan pemain mulai 2 April hingga 16 April depan.
|
|