Rekod tanpa kalah Perak berkecai apabila dibelasah oleh Pahang 5 - 0 dalam Piala Presiden di Pekan petang tadi.
Kekalahan mengejutkan itu menyebabkan rekod tanpa kalah Perak berakhir setelah bertahan 16 perlawanan.
Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, para pemain Perak gagal beraksi dengan baik atas padang yang basah membolehkan Pahang mencatat kemenangan besar.
"Semangat para pemain Perak tersentak pada pertengahan separuh masa pertama apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada Pahang,'' jelas Abu Bakar.
Pahang mendapat sepakan penalti itu setelah bola dikatakan terkena tangan Amirul Azhan Aznan.
Selepas itu, Pahang meledakkan satu gol lagi menyebabkan persembahan para pemain Perak semakin menurun.
Pada separuh masa kedua, Pahang semakin garang dan berjaya menambah tiga gol lagi membuatkan Perak terduduk dengan keputusan berkenaan.
Ketiadaan empat tonggak utama iaitu Norhakim Mohd Isa, Hamizul Izaidi Zulkifli, Kamalrul Hesam Mohd Kadri dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin menjejaskan rentak permainan Perak.
"Kita tidak dapat menurunkan keempat-empat pemain berkenaan kerana masalah kecederaan,''kata Abu Bakar.
Walapun bagaimanapun, beliau berharap kekalahan tersebut akan menjadi pengajaran berguna kepada para pemain supaya tidak memandang rendah terhadap mana-mana pasukan.
"Oleh itu, mereka perlu bangkit semula bagi menebus kekalahan ini dengan mengutip mata penuh dalam perlawanan dengan Negeri Sembilan di Ipoh pada hari Khamis ini,'' kata Abu Bakar.
|
|