Para pemain muda Perak diminta tidak memandang rendah setiap pasukan lawan dalam aksi Piala Presiden agar rekod tanpa kalah yang bertahan sebanyak 15 perlawanan terus berkekalan.
Sehubungan dengan itu, jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim meminta anak buahnya beraksi dengan bersungguh-sungguh apabila berdepan Sarawak di Stadium Perak, Ipoh petang ini dalam usaha mengutip mata penuh.
"Jangan pandang rendah kemampuan Sarawak dan jangan bermain ala kadar sahaja,'' tegas Abu Bakar yang merasakan anak buahnya semakin kurang tumpuan apabila beraksi dengan pasukan yang dianggap lemah.
Katanya, Sarawak yang berada di tangga yang lebih bawah masih mampu mengejutkan Perak jika para pemain beranggapan pasukan lawannya itu mudah ditewaskan.
Perak masih mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam 15 perlawanan dengan menduduki tangga kedua liga Piala Presiden.
"Saya bimbang dengan sikap mereka yang boleh membuatkan Perak tersingkir daripada saingan suku akhir nanti,'' tambahnya.
Abu Bakar memberitahu bahawa empat pasukan yang teratas daripada kumpulan A dan B akan layak ke saingan suku akhir.
"Perjuangan ke suku akhir masih jauh yang mana Perak perlu beraksi sebelas perlawanan termasuk petang ini bagi menentukan kedudukan muktamadnya,''.
"Walaupun berada di tangga kedua tetapi kedudukan itu belum selamat kerana ATM, NS Betaria dan Terengganu masih berpeluang menggegarkan Perak,'' tambah jurulatih itu.
Beliau memberitahu Perak akan menurunkan barisan pemain yang terkuat bagi berdepan Sarawak nanti.
Penjaring terbanyak, Khairul Asyraf Shaizah bersama-sama Muhammad Syarif Osman dan Norhakim Mohd Isa diharapkan mampu menjadikan jentera serangan Perak bertenaga.
|
|