logoperaknews

KEPUTERAAN PERAKNEWS

27 Atlet Terima RM55,000 Skim Insentif Sukan

insentif untuk sukan

Seramai 27 atlet Perak yang mewakili negara menerima insentif bernilai RM55,000 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada satu majlis khas di Mydin Meru Raya hari ini.

Di bawah skim insentif sukan negeri Perak, atlet yang menyumbang pingat emas untuk negara menerima RM3,000, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000 manakala yang tidak memenangi sebarang pingat menerima RM300.

Atlen terjun, Leong Mun Yee menjadi penerima skim insentif sukan terbanyak iaitu RM4,000 kerana memperolehi pingat emas Sukan SEA 2013 dan gangsa dalam kejohanan terjun dunia tahun lalu.

Menteri Besar di dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada atlet yang mewakili negara dan berharap kejayaan mereka akan menjadi pendorong kepada atlet muda, khususnya yang akan mengambil bahagian di dalam SUKMA Perlis 2014.

"Perak telah melahirkan ramai atlet yang berjaya dalam pelbagai jenis sukan dan saya yakin atlet SUKMA tahun ini juga akan melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran," kata beliau.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Ketua Kontinjen Perak ke SUKMA Perlis, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Musa Dun.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Shahrul Zaman memberi jaminan kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kebajikan atlet negeri ini terjaga.

"Skim insentif sukan misalnya membuktikan komitmen kerajaan untuk menggalakkan kecemerlangan sukan dan diharapkan ia akan menjadi suntikan semangat kepada atlet SUKMA kerana sudah tentu insentif untuk mereka yang berjaya juga disediakan," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Puhat memberitahu, selain memberi elaun bulanan kepada atlet berpotensi, kerajaan negeri juga membantu mereka yang kurang cemerlang di dalam pelajaran melanjutkan pengajian di Politeknik Ungku Omar.

"Mula-mula mereka belajar di peringkat sijil, diploma dan sehingga ke peringkat yang mereka mampu demi untuk memastikan masa depan mereka terjamin," tambah beliau.

Perak akan menghantar 388 atlet yang akan mengambil bahagian di dalam 24 acara di SUKMA Perlis yang dijadualkan bermula 22 Mei depan.

Abdul Puhat yakin, berdasarkan persiapan awal sejak dua tiga tahun lalu, sasaran 30 pingat emas mampu dicapai, sekaligus mengembalikan kecemerlangan Perak di dalam Sukan Malaysia seperti yang pernah dicapai pada tahun 1998, 2000 dan 2002 ketika beliau menjadi Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak.

Search

FeedBurner Subscription

FeedBurner Subscription