Semua pasukan dalam kumpulan B Liga Piala Presiden berazam mencipta nama dengan meleburkan rekod tanpa kalah Perak yang mencecah 15 perlawanan.
Sehubungan itu, jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, Perak sentiasa berdepan dengan cabaran sengit daripada setiap pasukan yang ditempuhinya.
"Para pemain lawan akan bermain bermatian bagi menumpaskan Perak yang mana membuatkan para pemain Perak sentiasa bersedia serta bekerja keras untuk mematahkan cabaran pasukan berkenaan,'' jelas Abu Bakar.
Perak masih mengekalkan rekod tanpa kalahnya setelah mencatat keputusan seri 2 - 2 dalam perlawanan ke-15 dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang semalam.
Keputusan itu meletakkan Perak di tangga kedua liga dengan mengumpul 35 mata.
Abu Bakar memberitahu bahawa persembahan Perak dan Johor FC seimbang pada separuh masa pertama apabila kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 0 - 0.
Namun begitu, Perak agak cemas setelah Johor FC memperolehi dua gol berturut-turut pada minit ke-54 dan 59.
"Saya telah meminta para pemain melipatgandakan usaha bagi mendapatkan gol dan seterusnya mempertahankan rekod tanpa kalah ini,'' kata Abu Bakar.
Akhirnya, Khairul Asyraf Sahizah merapat jurang perbezaan gol pada minit ke-69 dan Nurridzuan Abu Hassan menyamakan kedudukan pada minit ke-71.
"Saya bersyukur dapat membawa pulang satu mata dari tempat lawan,'' tambahnya.
Perak akan berdepan Sarawak dalam perlawanan ke-16 di Stadium Perak, Ipoh pada 5 April ini.
|
|