Kerajaan Negeri Perak memberikan insentif sebanyak RM59,000 kepada 19 atlet dari negeri ini yang mengharumkan nama negara dalam Sukan SEA XXVI, Indonesia 2011 di Palembang dan Jakarta pada tahun lalu.
Insentif itu diberikan kepada atlet-atlet berkenaan yang membawa pulang sembilan pingat emas, enam perak dan lapan gangsa.
Malaysia memenangi 40 pingat emas, 40 perak dan 59 gangsa dalam sukan dwi-tahunan tersebut.
Setiap atlet yang meraih pingat emas menerima insentif sebanyak RM3,000; pingat perak RM2,000 dan RM1,000 bagi pingat gangsa.
Perenang, Kevin Yeap Soon Choy menjadi penerima insentif terbanyak berjumlah RM8,000 setelah meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam acara renang.
Penembak, Nur Suryani Mohamed Taibi dan penerjun, Leong Mun Yee masing-masing merangkul dua pingat emas dalam acara menembak dan terjun menerima insentif sebanyak RM6,000 setiap seorang.
Penerjun, Cheong Jun Hoong; pemain bolasepak, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Fadli Shas, atlet wushu, Lee Yang; dan pelumba basikal trek, Mohd Edrus Mohd Yunus masing-masing menerima insentif sebanyak RM3,000 atas kejayaan meraih satu pingat emas dalam acara masing - masing.
Pemain boling wanita negara, Sin Li Jane menerima insentif RM3,000 setelah merangkul satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara tenpin boling.
Penembak kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hassan, penerjun, Kam Ling Kar; atlet wushu, Koo Chee Zhong, dan atlet perahu layar, Mohd Romzi Mohamad yang menyumbangkan satu pingat perakmenerima insentif RM2,000.
Atlet karate-do, L. Kunasilan yang memenangi dua pingat gangsa di Palembang menerima insentif RM2,000.
Atlet lawan pedang, Zairul Zaimi Mohd Arshad, dua atlet pencak silat, Noor Farahana Ismail dan Siti Arfiyah Abdul Jalil, atlet perahu layar, Nur Amirah Hamid, dan pemain golf, Low Khai Jie menerima insentif RM1,000 atas kejayaan merangkul pingat gangsa dalam sukan terbesar di Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Padzi Paharudin menyampaikan insentif tersebut.
"Pemberian insentif ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada para atlet yang berjaya mempamerkan kecemerlangan pada temasya sukan dwi-tahunan itu,'' jelasnya.
Beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memberi insentif kepada dua atlet negeri ini, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Leong Mun Yee yang bertanding dalam Sukan Olimpik London pada bulan
Julai akan datang.
Walau bagaimanapun Zainol tidak menyatakan jumlah insentif yang akan diberikan kepada kedua-dua atlet berkenaan.
|
|