peraknews logo
Monday, 20 May 2013   10. Rejab 1434

popovic-pkBolehkah masalah ketumpulan jentera serangan Perak dalam saingan Liga Super diselesaikan oleh penyerang import baru?.

Perkara tersebut mula menjadi bualan hangat para penyokong Kejor Yeop Kejor apabila Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ) dikatakan akan mengambil tindakan menyingkirkan bekas penyerang remaja Serbia, Lazar Popovic yang dilanda kemarau gol sejak menyarung jersi Seladang.

Popovic yang disenaraikan sebagai salah pemain import Perak gagal menjaringkan sebarang gol dalam 12 perlawanan Liga Super termasuk dua perlawanan Piala FA.

Sehubungan dengan itu, Pafa menghantar dua notis awal sebagai amaran kepada Popovic bahawa beliau akan disingkirkan jika gagal menjaringkan gol.

Kedua-dua notis itu tetap tidak memberi kesan yang mana Popovic masih gagal menyumbatkan sebarang gol.

Akhirnya, Pafa mengeluarkan notis ketiga sebagai notis penamatan kontrak atas kegagalan tersebut yang mana semakin hangat diperkatakan oleh para penyokong

Oleh itu, Popovic dijangka meninggalkan skuad Seladang secara rasmi pada 1 April ini.

Kini, para penyokong mula tertanya-tanya sebab Perak dilanda kemarau gol samada kegagalan Popovic bersendirian atau penyerang-penyerang tempatan juga terbabit.

Selain Popovic, penyerang tempatan yang disenaraikan dalam jentera serangan Perak adalah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd Shafiq Jamal dan Mohd Failee Ghazali.

Namun begitu, Popovic dan Akmal Rizal sering diturunkan bergandingan kerana Mohd Shafiq Jamal dan Mohd Failee masih mengalami kecederaan. 

Hanya dua atau tiga perlawanan Liga Super yang terakhir ini, Shafiq dan Mohd Failee mula diturunkan dengan Akmal dan Popovic tetapi gagal menyelesaikan masalah ketumpulan serangan.

Berdasarkan statistik, Perak menyumbatkan sebelas gol dalam aksi Liga Super yang mana pemain tengah, Michal Kubala sebanyak lima gol, 

Tiga pemain tengah yang lain iaitu Shahrom Kalam, Fahrul Razi Kamaruddin dan Fazrul Hazli Mohd Kadri masing menyumbangkan satu gol.

Hanya Akmal Rizal selaku pemain penyerang berjaya menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan pada awal musim tetapi gagal menjaringkan sebarang gol dalam sembilan perlawanan lain.

Satu gol lagi diperolehi Perak dalam Liga Super itu merupakan jaringan gol sendiri yang dilakukan oleh pihak lawan.

Pafa sedang berusaha menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan itu dengan mencari penyerang baru sebelum 3 April ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan membuka tingkap perpindahan kepada pemain tempatan dan import mulai 3 April ini.

Pafa mengambil kesempatan itu untuk menamakan penyerang baru bagi menggantikan Popovic.

Sehubungan dengan itu, Perak sedang menguji empat pemain dari benua Afrika bagi mengisi kuota pemain import apabila tingkap pendaftaran pemain dibenarkan nanti.

Keempat-empat penyerang berkenaan berasal dari Ghana, Cameroon, Liberia dan Zambia yang dikatakan pernah beraksi dengan beberapa kelab utama di benua tersebut. 

Selain itu, Pafa akan menghantar pegawainya ke India bagi menilai bekas penyerang importnya, Keita Mandjou yang sedang beraksi dengan Pune FC.

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menyatakan kesanggupan Keita untuk beraksi dengan Perak walaupun masih mempunyai ikatan kontrak dengan Pune FC sehingga Jun depan.

Kini para penyokong Kejor Yeop Kejor ternanti-nanti, penyerang dari negara mana yang akan mengisi kekosongan Popovic.

Apakah kehadiran penyerang baru itu  bersama-sama penyerang tempatan dapat menyelesaikan ketumpulan jentera serangan Perak.

Hanya masa akan menentukannya.

Add your comment

Your name:
Your email:
Comment:
  The word for verification. Lowercase letters only with no spaces.
Word verification: