Kegagalan menemui sentuhan gol dalan saingan Liga Super menyebabkan kontrak penyerang Serbia, Lazar Popovic ditamatkan pada 1 April depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memberitahu bahawa notis penamatan kontrak tersebut sudah diberikan kepada Popovic.
Walau bagaimanapun, Popovic akan diturunkan dalam pertemuan dengan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar pada 30 Mac ini yang mana khidmat terakhir penyerang tersebut.
Sebelum ini, para penyokong Kejor Yeop Kejor mendesak pihak pengurusan skuad Seladang supaya mencari penyerang gantian agar masalah ketumpulan jentera serangan dapat diatasi.
Popovic gagal menjaringkan sebarang gol sejak menyarung jersi Perak dalam 12 perlawanan lalu termasuk dua perlawanan Piala FA.
Zainol berkata Popovic sebagai pemain bola sepak profesional seharus memahami tindakan Pafa menamatkan kontraknya.
Sehubungan dengan itu, Perak sedang menguji enam pemain Afrika sejak minggu lalu bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh Popovic pada 1 April nanti.
Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) akan membuka tingkap perpindahan bagi pemain asing dan tempatan pada 2 April depan.
Bekas penyerang import Perak, Keita Mandjou,32, antara enam pemain yang berminat untuk menjalani ujian pemilihan tersebut.
Keita pernah memenangi anugerah Kasut Emas pada tahun 2006 setelah menjaringkan 17 gol dalam saingan Liga Perdana pada waktu itu.
Keita sedang beraksi dalam Liga India ( I-League ) bersama-sama kelab Pune FC yang mana memenangi anugerah Pemain Terbaik bagi musim 2010-2011 setelah muncul penjaring terbanyak dengan jaringan 13 gol
bagi kelabnya.
Pemain dari Cameroon, Ghana, Zambia dan Liberia telah menjalani ujian pemilihan yang mana diturunkan dalam dua perlawanan persahabatan pada hari Khamis dan Jumaat lalu.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, Perak tumpas 1 - 2 kepada Pahang tetapi menang 2 - 0 ke atas ATM.
"Kedua-dua perlawanan tersebut diharapkan dapat menguji bakal pemain import yang baru dan pemain tempatan,'' jelas Zainol.
Presiden Pafa mahukan masalah ketumpulan jentera serangan Perak itu dapat diselesaikan dengan segera.
Perak telah menjaringkan sebelas gol dalam aksi Liga Super melalui Michal Kubala sebanyak lima gol, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ( dua gol ), Shahrom Kalam, Fahrul Razi Kamaruddin dan Fazrul Hazli Mohd Kadri masing - masing menjaringkan satu gol.
Satu gol lagi diperolehi melalui jaringan gol sendiri yang dilakukan oleh pihak lawan.
|
|