• Home
    • Advertisement
      kete
  • BERITA NASIONAL
  • BERITA NEGERI
  • BERITA DUNIA
  • BERITA SUKAN
  • KOLUMNIS
  • KOMUNITI
  • SUARA PERAK
  • Galeri Menteri Besar
  • Peraknews TV

Mon21042014

Last updateMon, 21 Apr 2014 9am

Articles

Kampung Telaga Nenas - Rancak Dengan Aktiviti Ekonomi Kecuali Penanaman Nenas

nenas 3

nenas 1Kampung Telaga Nenas mungkin kedengaran agak asing bagi mereka yang belum menjejakkan kaki di sini di tambah pula lokasinya yang agak terlindung dari jalan utama menyebabkan ia kurang dikenali di kalangan orang luar.

Pertama kali menjejakkan kaki ke sini, pastinya anda akan disambut dengan kelembutan angin sepoi-sepoi bahasa datangnya dari Sungai Dinding yang menjadi nadi utama buat para nelayan di sini mencari rezeki seharian.

Terletak 40 km dari bandar Sitiawan, kampung ini letaknya betul-betul di sepanjang tebing Sungai Dinding yang dahulunya menjadi laluan utama buat penduduk untuk ke bandar Lumut tetapi kini tidak lagi disebabkan oleh kewujudan jalan raya bagi memudahkan penduduknya menjalankan aktiviti harian.

Kisah disebalik nama Kampung Telaga Nenas

Terciptanya nama Kampung Telaga Nenas ini diilhamkan daripada kewujudan telaga di seberang Sungai Dinding yang di bahagian luarnya ditumbuhi dengan nenas dan airnya amat jernih dan tidak pernah kering walaupun digunakan seluruh kampung apabila telaga lain habis ketika kemarau.

Ini diakui sendiri oleh Ketua Kampung, Mohd Nafis Budin,65, yang menceritakan bagaimana nama itu dipilih dan digunapakai hingga sekarang.

nenas 2Katanya telaga itu memang benar-benar wujud sehinggalah pada tahun 1990an berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan itu dan memusnahkan keseluruhan struktur telaga tersebut.

"Ada sebuah perigi (telaga) air jernih yang ditumbuhi pokok di sekeliling bibir telaga itu maka sempena itu orang terdahulu letak nama itu," kata Mohd Nafis.

Kampung yang sinonim dengan aktiviti nelayan ini mempunyai bilangan penduduk seramai 400 orang dan seringkali mendapat kunjungan daripada kaki-kaki pancing di terutama di hujung minggu kerana terdapat satu jeti khas yang menyediakan kemudahan untuk mereka melepaskan gian memancing.

Projek Penanaman Cendawan

Kejayaan sebuah bahtera mengharungi lautan bergelora bergantung kepada kepintaran nahkoda yang mengemudinya, sama juga perumpamaan bagi kemajuan sesebuah kampung terletak pada kebijaksanaan ketua yang mentadbir seisinya.

Perumpamaan ini amat sesuai bagi menceritakan usaha Mohd Nafis yang sentiasa menjadi pencetus semangat usahawan di kalangan anak buah di kampungnya.

Sesuai dengan jawatannya sebagai ketua kampung yang seharusnya menjadi contoh, Mohd Nafis telah mengilhamkan pelbagai kegiatan ekonomi dan salah satunya merupakan projek penanaman cendawan.

Kilang memproses cendawan yang sedang diusahakan itu dipelopori oleh Nafis sendiri diyakini mampu menembusi pasaran dunia jika kena dengan caranya kerana nilainya yang tinggi.

Walaupun projek cendawan ini dipandang sepi oleh segelintir pihak, tetapi inilah satu-satunya pengeluaran yang jika diusahakan dengan sebaiknya dijamin dapat membuktikan kebolehupayaan orang melayu menjadi peneraju kepada pasaran cendawan yang selama ini dimonopoli oleh kaum lain.

Bagi Mohd Nafis kesungguhan dan keazamannya untuk menjadi 'payung' kepada projek cendawan ini bukanlah untuk kepentingan individu semata-mata tetapi dilakukan demi membantu penduduk kampung menaikkan taraf ekonomi masing-masing.

Mohon Peruntukan

Mohd Nafis berkata peruntukkan RM 5 juta diperlukan bagi meneruskan usaha pembinaan kilang tersebut kerana kos bagi pembinaan kilang,penanaman,pemasaran dan promosi menelan belanja yang agak tinggi.

"Diharapkan Kerajaan Negeri mahupun pihak berwajib seperti Yayasan Bina Upaya (YBU) dapat memberi peruntukan untuk pastikan projek ini tercapai,untuk bantu bangsa kita juga.

"Orang Melayu khususnya sebenarnya perlu dibantu kerana ada di antara mereka yang tidak tahu macamana nak mulakan sesuatu sehingga kita tunjukkan jalan seperti apa yang sedang saya usahakan sekarang.

nenas 4Rancangan Penternakan Siput Sudu (Kupang)

Keunikan kampung ini juga terletak pada kekayaan hasil hidupan laut di tebing sungai itu sebagai contoh kehadiran habitat siput sudu atau lebih dikenali dengan nama kupang.

Ternyata lambakan siput sudu di situ ada kaitannya dengan Jambatan Tengku Bainun yang terletak berhampiran dipercayai membawa spora dan benih siput itu melalui arus sungai ke kawasan itu.

Menurut Mohd Nafis lagi, seramai 15 orang nelayan kini sedang gigih mengusahakan aktiviti penternakan siput sudu melalui modal masing-masing.

Projek siput sudu yang sedang diusahakan oleh 15 orang nelayan di sini dilihat mampu menjana pendapatan lumayan kepada penduduk sekitarnya malah menjadi salah satu faktor kepada pembangunan kawasan berdekatan.

Ini kerana nilai komersil siput sudu yang tinggi di pasaran luar begitu menguntungkan ditambah pula dengan permintaannya yang begitu menggalakkan.

"Mereka bekerjasama kumpul modal sendiri untuk jalankan projek ini, dan nampaknya sudah ramai penduduk kampung yang mula tertarik untuk turut sama menyumbangkan modal yang dikira sebagai pelaburan jika dapat hasilnya nanti," kata Mohd Nafis.

Penubuhan Kilang Memproses Tayar Terpakai

Kata Mohd Nafis lagi kampung tersebut berupaya menjadi salah sebuah kawasan yang membangun kelak dengan rancangan penubuhan kilang pemprosesan tayar terpakai tidak lama lagi.

"Siapa sangka di kawasan kampung seperti ini ada kilang sama seperti di bandar, bila siap sahaja kilang ini nanti pastinya ia akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus dapat bantu ekonomi  masyarakat sekitar," katanya.

Selain itu chalet di sepanjang pinggiran sungai di situ juga menjadi tarikan utama buat penunjung yang datang beriadah di sini bersama keluarga atau sahabat handai.

nenas 3Impak Kepelbagaian Aktiviti Ekonomi Kepada Penduduk

Bagi salah seorang penduduk Mohamad Isa Hussain,45, yang menyara hidup dengan bekerja sebagai nelayan menyifatkan segala perancangan yang sedang dijalankan sekarang berupaya menjadikan kampung itu terkenal kelak.

"Bila hasilnya sudah nampak, sudah pastinya dapat menjadikan kampung ini dikenali ramai sekaligus meningkatkan ekonomi masyarakat di sini," kata Isa.

Apa yang pasti,kepelbagaian aktiviti ekonomi di Kampung Telaga Nenas ini dijamin akan memberi impak yang besar kepada kepesatan dan pembangunannya.

Walaupun hanya mempunyai jumlah penduduk yang kecil tetapi mampu bersaing seiring dengan bandar lain dan sudah semestinya dengan kerjasama dan keharmonian yang dipupuk sejak dahulu lagi menjadi titik tolak kepada kejayaannya.

Buat mereka yang ingin mencari ketenangan dan kelainan di hujung minggu, datanglah menjengah ke sini bagi menghayati dan menikmati sendiri keistimewaan Kampung Telaga Nenas.

Sudah pasti anda tidak akan menyesal dengan keramahan penduduknya.