logoperaknews

iklan-black

Isu MB: Rodziah Ismail Masih Kekal Exco

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang merupakan wakil daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih kekal sebagai Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, demikian kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perkara itu dijelaskan oleh menteri besar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bersama empat Exco PAS, pagi Rabu.

Menurut Khalid, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada Rodziah berhubung pendirian terhadap menteri besar sebaik sahaja beliau kembali dari luar negara.

"Berkenaan Rodziah saya tunggu dia kembali dan kemudian akan buat keputusan. Jika beliau setuju bekerjasama dengan Exco yang ada, maka khidmatnya akan diteruskan," katanya.

Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang mengesahkan Rodziah telah menemuinya sebelum berlepas ke luar negara dan menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan beliau.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan secara terperinci perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Terdahulu, Khalid memecat kelima-lima Exco dari PKR dan DAP iaitu Datuk Teng Chang Kim (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan); Ean Yong Hian Wah (Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu, Pemutihan Kilang Haram); Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar); Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Ganabatirau Veraman (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin).

Keputusan tersebut dibuat selepas kelima-lima exco itu mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak menyokong menteri besar dan hanya menurut kehendak parti masing-masing.

Empat Exco daripada PAS yang kekal adalah Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Iskandar Abdul Samad.

Mereka menghadiri mesyuarat exco yang dipengerusikan Khalid pagi Rabu.

FeedBurner Subscription

FeedBurner Subscription