Legenda Liverpool, Kenny Dalglish dipecat selaku pengurus pasukan, lewat malam tadi selepas perubahan dramatik oleh pemilik kelab berikutan pencapaian hambar dalam kempen Liga Perdana Inggeris.
Pengendali berusia 61 tahun dari Scotland itu yang kembali ke Anfield, Januari tahun lalu terpaksa membayar harga yang mahal di atas musim hambar yang menyaksikan Liverpool menyudahkan cabaran liga 37 mata di belakang juara, Manchester City.
Pemilik Merseyside dari Amerika Syarikat, Fenway Sports Group sebelum ini memberi Dalglish lebih £100 juta (RM500 juta) untuk berbelanja dalam pasaran perpindahan pemain sejak dia mengambil alih tugasan itu daripada Roy Hodgson yang dipecat pada 2011.
Namun, pembelian mahal Andy Carroll, Stewart Downing, Jordan Henderson dan Charlie Adam gagal menyinar apabila Liverpool berakhir dengan penyudahan tempat kelapan liga – pencapaian terburuk sejak dua dekad.
“Fenway Sports Group dan Kelab Bola Sepak Liverpool mengumumkan bahawa Kenny Dalglish akan melepaskan jawatan selaku pengurus selepas kontraknya ditamatkan,” kata satu kenyataan bersama.
|
|