Para pemain dan pegawai skuad Perak akan berkongsi wang hadiah RM20,000 sebagai ganjaran menjuarai Kejohanan Bolasepak Piala Belia Bawah 19 tahun anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) di Sintok pada hari Ahad lalu.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, ganjaran yang diberikan itu merupakan wang hadiah yang dimenangi oleh Perak selaku juara Piala Belia.
"Pafa berpendapat para pemain dan pegawai wajar menerima wang hadiah setelah bertungkus lumus sejak lima bulan lalu,'' jelas Zainol di Ipoh semalam.
Katanya, pasukan belia itu mula dibentuk melalui pemilihan pemain wang diadakan empat zon dalam negeri ini pada bulan November dan Disember yang lalu.
Selepas itu, latihan pusat bermula di bawah penyeliaan ketua jurulatih, Syamsol Saad selama empat bulan hingga perlawanan di Sintok.
"Oleh itu, mereka wajar menerima ganjaran tersebut yang mana wang itu akan dibahagi kepada setiap pemain dan pegawai yang mana ditentukan oleh pengurus pasukan, Zainal Anuar Rashid,'' tambah Presiden Pafa.
Perak muncul juara kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) setelah mengalahkan Perlis 1 - 0 hasil jaringan Hafiz Ramdan.
Kejohanan ini diadakan semula oleh FAM setelah terhenti pada tahun 2008 lalu dan disertai oleh 14 negeri dari selurtuh negara.
Selain itu, pemain Perak, Mohd Fitri Sudin terpilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dengan merangkul hadiah wang tunai RM1,500.
Presiden Pafa itu menyifatkan kemenangan tersebut secara tidak langsung mengharumkan nama persatuan, negeri dan rakyat Perak.
Beliau memberitahu bahawa skuad bawah 19 tahun itu tidak akan dibubarkan kerana mereka merupakan barisan pelapis bagi Piala Presiden dan Liga Super masa depan.
|
|