Sentuhan pemain import, Michal Kubala dan Albert Bodjongo semakin berbisa apabila berjaya membantu Perak menumpaskan Selangor 2 - 0 di Stadium Perak, Ipoh malam semalam.
Pasukan tuan rumah mengambil masa 15 minit sahaja untuk meranapkan pintu Selangor sepakan bebas yang disempurnakan oleh Michal Kubala.
Gol yang dijaringkan oleh Kubala itu merupakan gol kesepuluhnya bersama-sama skuad Seladang yang mana beliau merupakan penjaring terbanyak Perak.
Selepas itu, Selangor bangkit melakukan serangan bertali arus bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan yang diketuai K. Nanthakumar.
Penyerang import Selangor, Bosko Balaban gagal mengegarkan pintu gol Seladang walaupun penyerang import itu tidak diberi kawalan ketat oleh pertahanan Perak.
Kemenangan ini membolehkan Perak naik ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 27 mata daripada 17 perlawanan.
Pasukan pelawat berjaya mengawal permainan pada separuh masa kedua tetapi gagal menyamakan kedudukan.
Lebih 6,000 penyokong Kejor Yeop Kejor telah memberi sokongan padu kepada para pemain Perak bagi mendapatkan gol tambahan.
Bodjongo telah mempamerkan kelincahannya dengan melakukan beberapa cubaan berbahaya ke arah pintu Selangor tetapi gagal menepati sasaran.
Akhirnya hantaran cantik daripada Fahrul Razi Kamaruddin telah dirembat kencang oleh Bodjongo ke penjuru kiri pintu gol Selangor.
Rembatan kencang Bodjongo itu gagal ditepis oleh penjaga gol, Norazlan Razali untuk gol kedua Perak pada minit ke-83.
Gol tersebut merupakan gol kedua Bodjongo dalam Liga Super sejak menyarung jersi Perak pada bulan lalu.
Selepas itu, Bodjongo terus mempamerkan kehebatannya dengan melakukan dua cubaan berbahaya tetapi melepasi palang gol.
Keseluruhannya, Perak dan Selangor mempamerkan persembahan yang seimbang tetapi penyerang pasukan tuan rumah berjaya menggunakan peluang terbaik untuk mendapatkan gol kemenangan.
foto- yob4ever
|
|