Pengurus Pasukan Perak, Khairul Azwan Harun mahukan penyerang import, Albert Bodjongo meneruskan sentuhan golnya dalam perlawanan dengan Selangor di Ipoh pada 11 Mei ini.
Sehubungan dengan itu, Azwan meminta jurulatih, Norizan Bakar menyusun strategi mantap untuk menggandingkan Bodjongo dengan pemain tempatan yang lain.
Beliau percaya gandingan mantap itu mampu membawa kemenangan kepada Perak pada hari Jumaat ini.
Azwan telah menyatakan hasrat tersebut kepada Norizan dan para pemain Perak semasa perjumpaan bulanan skuad Liga Super di Ipoh semalam.
Norizan telah menggandingkan Bodjongo dengan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Failee Ghazali sebagai jentera serangan Perak.
Ketua pasukan, Shahrulnizam Mustafa dan Michal Kubala pula bertindak sebagai perancang di bahagian tengah.
"Kita berasa lega dengan kejayaan penyerang import itu yang sudah menemui sentuhan gol dalam perlawanan di Kuala Terengganu,'' jelas Azwan.
Perak membawa pulang satu mata dari Kuala Terengganu setelah mencatat kepusan seri 2 - 2 dengan Terengganu.
"Saya berharap sentuhan gol itu akan berterusan dan rakan sepasukan yang lain perlu membantunya,'' tambah Pengurus Pasukan itu.
Sementara itu, Azwan meminta para pemain supaya tidak hilang fokus di penghujung perlawanan sehingga membuatkan Perak kehilangan mata.
Beliau menyatakan bahawa Perak kerugian beberapa mata akibat para pemain hilang fokus di penghujung perlawanan samada di Ipoh atau gelanggang lawan.
Azwan mengakui kegagalan Perak mengutip mata penuh dalam beberapa perlawanan lalu membuatkan penyokong Perak semakin gelisah.
Oleh itu katanya, mereka meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap skuad Seladang melalui beberapa laman sosial.
"Jangan hilang fokus lagi semasa berdepan Selangor kerana Perak mahukan mata penuh,'' tegas beliau lagi.
|
|