Skuad hoki negara berjaya menempah tiket ke Piala Dunia Remaja 2013 apabila layak ke separuh akhir Kejohanan Remaja Piala Asia selepas mengakhiri saingan peringkat kumpulan di Stadium Hoki Bukit Serindit di Melaka malam tadi.
Malaysia mengekalkan tanpa rekod dengan mengalahkan Jepun 3-1 untuk muncul juara Kumpulan A dan akan menentang juara bertahan India pada perlawanan separuh akhir Khamis ini.
India pula muncul naib juara Kumpulan B dengan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menang tipis 2-1 ke atas China pada perlawanan akhir peringkat kumpulan Isnin.
Pakistan muncul juara Kumpulan B dengan perbezaan kiraan gol dengan berpesta gol apabila membelasah Sri Lanka 14-0.
Pakistan pula akan menentang Korea Selatan, selaku naib juara kumpulan A, pada perlawanan separuh akhir nanti.
Mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sebanyak empat pasukan terbaik dari Piala Asia di sini termasuk India, selaku tuan rumah, layak ke Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, tahun depan.
Jurulatih negara Dhamaraj Abdullah berkata kemenangan Malaysia itu penting dalam meneruskan momentum kemenangan bagi pertemuan separuh akhir menentang India selaku naib juara kumpulan B pada Khamis ini.
"Setelah layak ke peringkat akhir Piala Dunia, misi kita seterusnya untuk muncul juara kejohanan ini," katanya.
|
|