Perak perlukan tiga mata penuh dalam pertemuan dengan Perlis di Ipoh petang ini bagi mencerahkan laluannya ke pusingan suku akhir Piala Presiden musim ini.
Sehubungan dengan itu, jurulatih, Abu Bakar Fadzim meminta semua pemain beraksi dengan penuh semangat bagi memburu tiga mata tersebut.
"Jika Perak gagal merangkul tiga mata itu menyebabkan para pemain terpaksa bekerja keras bagi mengutip mata dalam pertemuan dengan Terengganu, NS Betaria dan PKNS,'' kata Abu Bakar.
"Ketiga-tiga pasukan tersebut sangat sukar untuk dijinakkan,'' tambahnya.
Oleh itu, beliau berharap para pemain tidak melepaskan peluang terbaik merangkul tiga mata dan hanya memerlukan tiga mata sahaja daripada tiga perlawanan akan datang.
Perak berada di tangga ketiga liga dengan mengumpul 49 mata selepas beraksi 22 perlawanan meninggalkan pencabar terdekatnya, Terengganu dengan jurang tujuh mata.
Terengganu di tangga keempat dengan 42 mata dan Tentera pula di tangga kelima dengan 41 mata.
PKNS masih mengungguli takhta liga dengan 54 mata diikuti oleh NS Betaria dengan 52 mata.
Walaupun ketiadaan dua tonggak utamanya tetapi Abu Bakar tetap yakin Perak mampu mengutip mata penuh dalam pertemuan itu.
Penyerang utama, Amirul Azhan Azman terpaksa direhatkan kerana masalah kecederaan dan Yoganathan digantung satu perlawanan kerana mengutip kad kuning ketiga.
Beliau percaya Nurridzuan Abu Hassan bersama-sama Norhakim Mohd Isa dan Khairul Asyraf Shaizah mampu menerajui jentera serangan bagi mendapatkan gol kelak.
|
|