Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun menegur sikap pemain-pemain Perak yang mudah berpuas hati dengan kedudukan semasa dalam sesuatu perlawanan Liga Super.
Azwan berkata, sikap itu akan membawa padah kepada Perak yang terpaksa berpuas hati dengan berkongsi mata atau kalah di tangan lawan pada saat-saat akhir.
"Saya perhatikan sikap ini berlaku dalam kalangan pemain sejak musim lalu,'' jelas Azwan.
Beliau berkata demikian setelah Perak gagal membawa pulang tiga mata penuh dari Kuala Terengganu, Jumaat lalu walaupun berjaya mendahului pihak lawannya.
Perak berjaya mendahului Terengganu pada minit ke-65 melalui jaringan penyerang import, Albert Bodjongo yang membuat penampilan kedua dalam Liga Super sejak disenaraikan dalam skuad Seladang bulan lalu.
Namun begitu, Terengganu mengambil kesempatan atas sikap pemain Perak yang mudah berpuas hati itu bagi menjaringkan penyamaan pada minit ke-87 melalui Hasmizan Kamarodin.
Sebelum itu, Joseph Kallang Tie menjaringkan gol pertama Terengganu pada minit pertama tetapi disamakan oleh Mohd Rafiuddin Roddin pada minit ke-41.
"Para pemain Perak telah mempamerkan persembahan yang baik dalam perlawanan itu tetapi sikap mereka membuatkan skuad Seladang kehilangan dua mata lagi,'' tambah Azwan.
Pengurus Pasukan itu berkata, kemenangan mutlak dalam perlawanan bola sepak hanya akan diketahui apabila pengadil meniup wisel penamat.
Beliau berharap para pemain akan menjadikan kegagalan mengutip mata penuh di Kuala Terengganu sebagai pengajaran yang berguna.
"Jangan ulangi sikap tersebut kerana Perak tidak boleh kehilangan mata,'' tegas Azwan.
Perak akan berdepan dengan jaguh Lembah Kelang, Selangor di Ipoh pada 12 Mei ini.
|
|