Para pemain Perak bertandang ke Kuala Terengganu dengan penuh harapan untuk membawa pulang mata penuh dalam pertemuan Liga Super berdepan Terengganu malam ini.
Oleh itu, Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun harapkan pemain Perak benar-benar mampu memberi persembahan mantap setelah berehat selama dua minggu.
Dalam perlawanan terakhir sebelum berhenti rehat selama 15 hari, Perak terpaksa berhempas pulas untuk berkongsi mata dengan Sabah setelah kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 2 - 2 pada 17 April lalu.
Kini Perak berada di tangga kelima liga dengan mengumpul 23 mata hasil daripada 15 perlawanan yang dilaluinya.
Perak mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang kelab dari Sumatera, Semen Padang dan USM semasa rehat panjang.
Namun begitu, Perak gagal mencabar keunggulan pendahulu Liga Prima Indonesia, Semen Padang apabila kalah 0 - 2 pada 22 April lalu.
"Saya berharap para pemain dapat mencontohi kualiti dan disiplin tinggi pemain Semen Padang dengan memberikan sepenuh komitmen walaupun bermain dalam perlawanan persahabatan,'' jelas Khairul Azwan.
Beliau percaya dua perlawanan persahabatan dan penambahbaikan daripada jurulatih, Norizan Bakar akan mampu membuatkan para pemain lebih efektif dan bersemangat di padang kelak.
Oleh itu katanya, Perak mampu membawa pulang mata penuh daripada Kuala Terengganu kelak.
Perak mungkin boleh mengambil kesempatan atas kegawatan yang melanda skuad Penyu bagi membawa pulang tiga mata.
Sebelum ini, Terengganu selaku juara bertahan Piala FA gagal mempertahanakan kejuaraanya apabila disingkirkan oleh pasukan bertaraf kelab, Sime Darby dengan aggregat 2 - 1.
Terengganu yang berdepan masalah dalaman tetapi masih mengungguli tangga ketiga liga dengan mengumpul 25 mata.
Sementara itu, Perak mengharapkan gandingan Michal Kubala, Sharulnizam Mustapa dan Fahrul Razi Kamaruddin membantu Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang import, Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon menjaringkan gol.
Sebelum ini, kehadiran Bodjongo gagal memberi impak besar kepada Perak kerana kurang bantuan daripada rakan sepasukan.
Para penyokong masih menantikan gol sulong Bodjongo dalam saingan Liga Super ini.
|
|