Para pemain Perak perlu Tentera bagi mencerahkan laluan ke suku akhir Piala Presiden apabila kedua-dua bertarung di Stadium Mindef, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur petang ini.
Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berkata, Perak perlu tiga mata penuh kerana kedudukannya di tangga ketiga liga masih belum selamat.
"Saya berharap semua pemain akan memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi bagi membolehkan Perak mencatat kemenangan yang diinginkan itu,'' jelas Abu Bakar semalam.
Perak sedang meningkatkan usahanya memburu salah satu tempat ke suku akhir kerana hanya empat pasukan teratas dari kumpulan A dan B akan layak ke pusingan kalah mati tersebut.
Perak berada di tangga ketiga dengan mengumpul 48 mata setelah beraksi 21 perlawanan tetapi sedang diasak oleh Tentera, Terengganu dan Selangor.
Tentera, Terengganu dan Selangor berpeluang ke suku akhir jika mampu mengutip mata yang banyak dalam lima perlawanan yang masih berbaki.
Namun begitu, Perak lega apabila jurang perbezaanmatanya dengan Terengganu agak besar iaitu sebanyak tujuh mata dan Tentera pula lapan mata.
Terengganu berada di tangga keempat dengan 41 mata dan Tentera di tangga kelima dengan 40 mata.NS Betaria mengungguli tangga kedua dengan 49 mata.
"Saya percaya Tentera masih mempunyai harapan ke suku akhir jika mampu mengutip banyak mata dalam lima perlawanan terakhinya,'' kata Abu Bakar.
Oleh itu katanya, Perak akan berdepan tentangan sengit daripada Tentera kerana mereka juga inginkan mata penuh.
Beliau meminta para pemain Perak tidak mensia-siakan peluang gol dengan melakukan tembakan kosong sahaja.
Abu Bakar berkata, Perak akan menurunkan kesebelasan utamanya dalam usaha membawa pulang tiga mata penuh tersebut.
Penjaring terbanyak, Nor Hakim Mohd Isa bersama-sama Khairul Asyraf Shaizah dan Kamarul Hesam Mohd Kadri akan menjadi tonggak utama serangan Perak kelak.
|
|