logoperaknews

pnewsmerdeka

Dasar Penerbangan Nasional Bakal Digubal - Muhyiddin

mas-airasia

Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional bagi meningkatkan lagi kemajuan industri penerbangan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, dasar itu bakal menggariskan langkah-langkah bagi mengukuh ekosistem dan rantaian perkhidmatan industri tersebut, antaranya penambahbaikan sistem pengurusan trafik udara sedia ada.

"Selain menggariskan usaha menaik taraf beberapa lapangan terbang (di negara ini)," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Pesawat Boeing 737-400 milik Malaysia Airlines (MAS) kepada Kementerian Pendidikan di Politeknik Banting di sini, hari ini.

Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof menyerahkan pesawat MAS yang digunakan kepada Ketua Setiausaha II Kementerian Pelajaran, Datuk Seri Zaini Ujang.

Sumbangan pesawat itu selaras dengan kerjasama syarikat penerbangan tersebut dengan Kementerian Pelajaran menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang turut dimeterai hari ini, menjadikan Politeknik Banting makmal latihan penyenggaraan pesawat itu.

Muhyiddin berkata, industri penerbangan mengalami pertumbuhan pesat di Asia Pasifik, mencecah 50 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dan dijangka terus meningkat sehingga melebihi 200 peratus dalam masa 20 tahun lagi.

Beliau berkata, trend ini seharusnya dilihat dari segi persediaan prasarana seperti lapangan terbang serta sumber tenaga pakar yang mampu menyokong pertumbuhan industri itu.
"Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Official Airline Guide (OAG) Aviation, kapasiti jadual penerbangan global antara Januari dan April meningkat empat peratus pada 2012 berbanding tempoh sama pada 2011.

"Dengan peningkatan industri penerbangan yang pesat ini, Malaysia berpotensi menjadi hab penerbangan di rantau ini. Industri ini dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat," katanya.

Muhyiddin berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh sama pada 2012.

Beliau berkata, jumlah kargo udara yang dikendalikan turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh sama.

"Dengan beroperasinya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada lebih 70 juta," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, dalam membangunkan modal insan tempatan, kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan standard pendidikan supaya graduan Malaysia setaraf serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, tenaga kerja tempatan yang mahir akan menyakinkan pihak industri bahawa adanya pekerja dari kalangan bakat yang terbaik dengan keupayaan kreatif dan mempunyai pengalaman industri serta pengurusan yang tepat.

"Dijangka menjelang 2015, negara kita akan memerlukan lebih 10,000 orang tenaga mahir dalam bidang penyenggaraan pesawat.

"Kementerian akan terus menyokong pemantapan hala tuju bidang sains penerbangan di Politeknik Banting memandangkan ianya satu-satunya politeknik yang menawarkan program berkaitan di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya Politeknik Banting berusaha untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah 'Approved Training Organisation (ATO) oleh industri penerbangan bagi memastikan politeknik ini dapat mengekalkan kualiti lulusannya supaya seiring dengan perkembangan di industri.

FeedBurner Subscription

FeedBurner Subscription