Para penyokong Kejor Yeop Kejor dirayu supaya mengawal emosi masing-masing walaupun Perak gagal memperolehi keputusan memberangsangkan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak ( KPBP ), Abdul Jamil Othman meminta para penyokong supaya sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu situasi.
"Kita ke stadium untuk memberi sokongan kepada para pemain bukannya bergaduh atau membaling sesuatu objek ke dalam padang,'' jelas Abdul Jamil semala.
Beliau percaya para penyokong Kejor Yeop Kejor yang semakin matang tidak melakukan perkara-perkara yang membawa bencana kepada Persatuan Bola Sepak Perak
( Pafa ).
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Sarawak ( FAS ) didenda sebanyak RM75,500 kerana gara-gara penyokong negeri itu yang gagal mengawal emosi.
Gara-gara gagal mengawal emosi menyebabkan FAS dituduh gagal menyediakan kawalan keselamatan yang sempurna.
Akhirnya, Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) mengenakan denda yang tinggi ke atas FAS yang didakwa gagal mengawal para penyokongnya.
Abdul Jamil mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong Perak terutama ahli KPBP yang sentiasa mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi semasa menonton perlawanan di Ipoh atau di stadium lain.
"Tiada sebarang insiden yang boleh memalukan Pafa dan sekaligus menyebabkan persatuan itu didenda sepanjang perlawanan Liga Super pada musim ini,'' tambahnya.
Selain KPBP, Perak masih mempunyai tiga kelab penyokong yang lain seperti Kelab Seladang FC, Silver State Ultras dan Die Hard Fan.
Ahli ketiga-tiga kelab berkenaan turut mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan tidak melakukan perkara yang boleh mencemarkan nama baik Pafa.
Walau bagaimanapun Abdul Jamil berkata, pembakaran mercun yang dilakukan oleh individu tertentu dalam stadium merupakan perkara biasa yang mana berlaku di semua stadium di Malaysia.
|
|