Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan Kejohanan Badminton Terbuka India 2012 apabila kalah mengejut di tangan bintang muda Korea Selatan, Shon Wan Ho, pada final di sini Ahad.
Kilauan emas pertama Sukan Olimpik London 2012 yang disandarkan kepada Chong Wei sedikit meresahkan apabila beliau tumpas 18-21, 21-14, 19-21 kepada bintang muda berusia 23 tahun itu.
Ini merupakan kejayaan pertama Wan Ho ke atas pemain nombor satu dunia itu dalam lima pertemuan sejak Kejohanan All England pada 2010.
Kejohanan Terbuka India bernilai US$200,000 (RM609,600) itu merupakan kejohanan utama yang disertai oleh Chong Wei selepas mengalami kecederaan bahu semasa All England bulan lepas.
Bagaimanapun, Chong Wei, 29, berkata kekalahan itu bukan kerana kecederaan bahunya.
"Ini adalah perlawanan pertama selepas pulih dari kecederaan. Oleh itu ia bukan masalah.
"Saya tidak menjangka Wan Ho bermain dengan begitu baik sekali," katanya sambil memperjelaskan bahawa tumpuannya kini kepada Sukan Olimpik Julai ini dan beliau mempunyai masa tiga bulan untuk melakukan persediaan.
|
|