Para pemain muda Perak diseru gandakan usaha supaya tiga mata yang diidamkan tidak terlepas dalam pertarungan Piala Presiden menentang Pulau Pinang di Stadium Perak, Ipoh petang ini.
Jurulatih, Abu Bakar Fadzim berharap mereka sentiasa fokus terhadap permainan tersebut seterusnya mempamerkan persembahan mantap.
"Perak tidak boleh berkongsi mata dengan pihak lawan kerana laluan Perak ke suku akhir belum selamat,'' jelas Bakar di Ipoh semalam.
Oleh itu, katanya, Perak perlu mengutip mata penuh agar persaingan ke suku akhir akan lebih memihak kepada negeri ini.
Selepas beraksi 19 perlawanan, Perak berada di tangga ketiga dengan mengumpul 42 mata dan NS Betaria berada di tangga kedua dengan 43 mata.
PKNS masih mendahului 13 pasukan lain setelah merangkul 48 mata.
Terengganu dan ATM masing-masing mengumpul 38 mata berada di tangga keempat dan kelima setelah jumlah jaringan gol yang membezakan kedua-duanya.
Hanya empat pasukan yang berada di tangga teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.
Abu Bakar bimbang anak buahnya akan bermain sambil lewa kerana beranggapan Pulau Pinang mudah dikalahkan.
"Walaupun Pulau Pinang berada di tangga tercorot dalam kumpulan B tetapi mereka masih mampu membuat kejutan,'' katanya.
Oleh itu, beliau berharap para pemain akan beraksi seperti biasa dan berusaha mendapatkan gol yang akan membawa kemenangan kelak.
Walaupun tanpa tiga pemain utama seperti Kenny Pallraj, Amirul Azahan Aznan dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin tetapi Abu Bakar percaya pemain gantian mampu mengisi kekosongan tersebut.
Tiga penjaring utama seperti Khairul Asyraf Sahizah, Norhakim Mohd Isa dan Kamarul Hesam Mohd Kadri akan menjadi tonggak utama serangan kelak.
Ketiga-tiga penyerang itu sudah menyumbatkan lima gol bagi setiap seorang.
Abu Bakar berharap para pemain dapat beraksi tanpa tekanan dan berusaha mempamerkan persembahan yang menarik.
|
|