Perak berdepan ujian paling getir pada tiga perlawanan Liga Super yang akan disambungkan semula pada 4 Mei depan.
Namun begitu, Perak perlu mengutip mata yang banyak agar kedudukannya dalam saingan liga tidak merudum.
Selepas beraksi 15 perlawanan, Perak berada di tangga kelima dengan mengumpul 23 mata membuatkan setiap perlawanan yang akan dilaluinya amat penting.
Saingan Liga Super berhenti sementara waktu kerana memberi laluan kepada skuad Harimau Malaya untuk beraksi dengan Sri Lanka pada 28 April ini.
Perak perlu melalui ujian pertama apabila berdepan dengan Terengganu di Kuala Terengganu pada 4 Mei nanti.
Walaupun Terengganu sedang dilanda masalah dengan penyokong sendiri tetapi Perak tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan dari Pantai Timur tersebut.
Selepas itu, Perak akan menanti kedatangan Selangor di Ipoh merupakan ujian getir kedua pada 12 Mei depan.
Ujian ketiga Perak apabila berdepan Negeri Sembilan di Paroi pada 15 Mei nanti.
Ketiga-tiga pasukan berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri jika para pemain Perak tidak berhati-hati.
Selain itu, para pemain perlu tingkatkan prestasi masing-masing apabila kurang memuaskan sejak akhir-akhir ini.
Perak mempamerkan prestasi yang memuaskan apabila menumpaskan Sabah 3 - 0 di Kota Kinabalu tetapi hanya mampu seri 2 - 2 di Ipoh.
Selepas itu prestasi Perak tampak menurun apabila kalah 0 - 2 kepada kelab Semen Padang dari Sumatera dalam perlawanan persahabatan Nusantara di Ipoh pada 22 April lalu.
Kehadiran penyerang import terbaru, Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon masih belum memberi impak besar kepada Perak kerana kurang bantuan daripada rakan sepasukan.
Pemain berpengalaman, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Sharulnizam Mustafa dan Michal Kubala yang diletakkan sebagai penggerak serangan tidak banyak membantu Bodjongo.
Penyerang dari Cameroon itu kurang menerima umpan tepat bagi membolehkannya menjaringkan gol.
Selain itu, penjaga gol berpengalaman, Nasril Nourdin perlu memperbaiki kelemahan diri agar tidak mengecewakan rakan sepasukan dan para penyokong Kejor Yeop Kejor.
Para penyokong percaya jurulatih, Norizan Bakar sudah mempunyai strategi tersendiri agar Perak melepasi ketiga-tiga ujian getir tersebut.
|
|