Perak gagal menyaingi kekuatan kelab Semen Padang FC dari Sumatera setelah tumpas 0 - 2 dalam perlawanan persahabatan Nusantara di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Gawang Perak hanya mampu bertahan sepuluh minit sahaja apabila pemain kebangsaan Indonesia, Ferdinand Sinaga menjaringkan gol pertama Semen Padang.
Rembatan kaki kiri Sinaga berjaya menumpaskan penjaga gol, Khairul Amri Salehudin pada minit ke-10.
Pasukan pelawat yang menurunkan enam pemain kebangsaan Indonesia bawah 23 tahun dan dua pemain senior Indonesia tidak menghadapi masalah mengawal permainan pada separuh masa pertama.
Kelab dari Padang, Sumatera itu merupakan pendahulu Liga Prima Indonesia dengan mengumpul 24 mata.
Semen Padang FC menurunkan empat pemain importnya iaitu Edward Junior dari Liberia, David Pagbe dari Cameroon, Esteban Gabriel Vizcarra dari Argentina, Yoo Hyun Koo dari Korea.
Sebaliknya, Perak tanpa pemain utama seperti Shahrulnizam Mustapa dan Shahrom Abdul Kalam gagal mempamerkan persembahan mantap.
Barisan serangan Perak yang diterajui oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli bersama penyerang import terbaru, Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon dan Mohd Failee Ghazali gagal mengugat gawang pasukan pelawat.
Penyerang remaja Indonesia, Muhammad Vandry Ronaldo Mofu menambah gol kedua Semen Padang FC setelah rembatan kencangnya terkena salah seorang pertahanan Perak terus menerjah ke jaring Seladang pada minit ke-38.
Separuh masa kedua, perminan Perak agak menyerlah dengan mengasak pintu gol Semen Padang FC dari awal perlawanan tetapi benteng pertahanan lawan ternyata kebal.
Walau bagaimanapun usaha asakan Perak itu mudah dipatahkan oleh pihak lawan melalui pertahanan importnya, David Pagbe.
Penjaga gol lawan, Jandia Eka Putra mempamerkan kecemerlangannya dengan menepis sepakan kencang Michal Kubala yang nyaris menerjah penjuru kiri pintu gol Semen Padang pada minit ke-56.
Penyerang Serbia, Lazar Popovic yang ditamatkan khidmatnya diturunkan menggantikan Akmal Rizal pada minit ke-60.
Namun begitu, Popovic tetap gagal menemui sentuhan gol sedangkan diberi peluang terakhir dalam perlawanan tersebut.
Keseluruhannya menampakkan prestasi Semen Padang FC berada lebih tinggi berbanding Perak.
Walaupun Semen Padang FC beraksi dalam Liga Prima Indonesia yang dianggap setaraf dengan Liga Perdana di negara ini tetapi persembahan mereka melebihi pasukan-pasukan Liga Super di negara ini.
|
|