logoperaknews

pnewsmerdeka

Sertai Aktiviti Untuk Tingkat Keyakinan Diri

shahronkalam

Anggota polis perlu lebih berani melibatkan diri di dalam aktiviti kemasyarakatan bagi menambah keyakinan diri untuk memajukan karier masa depan masing-masing.

Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Perak yang juga Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, berdasarkan perbincangan dengan panel temuduga kenaikan pangkat, didapati kelemahan calon ialah menyampaikan persembahan dengan baik.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kebolehan mereka untuk melaksanakan tugasan harian dengan baik, termasuk di dalam menyediakan laporan secara bertulis.

"Ramai yang boleh bekerja dengan baik tetapi antara kaedah penilaian kenaikan pangkat ialah temuduga secara lisan dan ini perlu dibaiki," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Kontijen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh pada Selasa.

ACP Shaharon Anuar berkata, antara aktiviti kemasyarakatan yang mungkin boleh membaiki lagi mutu komunikasi anggota polis ialah memberi ceramah dan menyertai KIK.

"Ini adalah antara platform yang boleh digunakan untuk meningkatkan lagi komunikasi supaya lebih lancar," tambah beliau.

Seramai 130 peserta daripada 10 pasukan seluruh negeri Perak mengambil bahagian di dalam konvensyen dua hari itu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu pengurusan dan teknikal.

Konvensyen KIK itu antara lain bertujuan melahirkan warga PDRM yang berfikiran kreatif dan inovatif di samping membolehkan organisasi menghasilkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan menepati kehendak pelanggan.

FeedBurner Subscription

FeedBurner Subscription