Laluan Sime Darby FC dan Kedah ke perlawanan akhir Piala FA cerah apabila keputusan perlawanan pertama separuh akhir lebih memihak kepada mereka.
Sime Darby FC mengejutkan juara bertahan, Terengganu apabila mencatat kemenangan 2 - 1 dalam pusingan pertama di Kuala Terengganu malam tadi.
Pasukan pelawat memperolehi gol pertama melalui penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-52.
Namun begitu, juara bertahan berjaya menyamakan kedudukan melalui Francis Forky Doe pada minit ke-65.
Beberapa saat sebelum pengadil meniup wisel penamat, Syukur Saidin menceriakan Sime Darby FC melalui jaringannya pada minit ke-93.
Jaringan tersebut membolehkan Sime Darby FC membawa pulang bekalan satu gol dan seterusnya mencerahkan laluannya ke perlawanan akhir kelak.
Terengganu akan menghadapi tugas yang berat dalam pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mei depan.
Sementara itu, Kedah turut pulang ke Alor Setar dengan perasaan lega setelah mencatat keputusan seri 1 - 1 dengan Kelantan di Kota Bharu.
Red Warrior berada di depan setelah Norshahrul Idlan Talaha menyumbatkan gol Kelantan pada minit ke-16.
Namun begitu, Hijau Kuning berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan penyerang import Croatia, Vedran Gerc pada minit ke-30.
Separuh masa kedua, Kedah tergamam apabila pemainnya, Wan Mohd Syukri dilayangkan kad merah pada minit ke-70.
Selepas itu, Kelantan pula terkedu kerana penyerangnya, Daudsu Jamaluddin menerima kad merah pada minit ke-72.
Oleh itu, kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain sehingga tamat perlawanan.
Walau bagaimanapun kedua-dua pasukan gagal menambahkan sebarang jaringan.
Kelantan akan bertandang ke Stadium Darul Aman pada 1 Mei depan bagi perlawanan kedua.
|
|