peraknews logo
Sunday, 26 May 2013   16. Rejab 1434

perak-v-semenPerak dan Semen Padang FC dari Sumatera sedia mempertahankan maruah masing-masing walaupun beraksi dalam persahabatan Nusantara di Stadium Perak, Ipoh malam esok.

Ketua Pasukan Perak, Shahrulnizam Mustafa berkata, beliau dan rakan-rakannya tidak mengambil mudah perlawanan tersebut.

"Sebaliknya kami akan bermain bersungguh-sungguh seperti mana yang ditunjukkan dalam saingan Liga Super,'' kata Shahrulnizam di Ipoh semalam.

Berdasarkan kedudukan semasa dalam Liga Prima Indonesia, Shahrulnizam mengakui Semen Padang FC merupakan sebuah pasukan yang memberangsangkan dan mantap.

Oleh itu katanya, kedua-dua pasukan dijangka  mempamerkan permainan berprestasi tinggi dan menarik.

Semen Padang FC sedang mendahului 11 pasukan lain dalam Liga Prima Indoensia dengan mengumpul 24 mata setelah beraksi 13 perlawanan.

Barisan serangan Semen Padang FC yang diketuai oleh Edward Junior Wilson dari Liberia telah menjaringkan 23 gol berbanding hanya 12 gol yang bolos. 

foto-seldang.net

Edward Junior dianggap penyerang berbisa Semen Padang FC berjaya meledak sembilan gol pada musim ini.

Pemain dari Liberia itu pernah muncul penjaring terbanyak Liga Prima Indonesia dengan menyumbatkan 22 gol pada tahun lalu.

Selain Edward Junior, Semen Padang juga mempunyai tiga pemain import lain iaitu David Pagbe dari Cameroon, Esteban Gabriel Vizcarra dari Argentina, Yoo Hyun Koo dari Korea.
 
Perak pula berada di tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 23 mata.

Dalam usaha mengekang kemaraan Semen Padang FC,  skuad Seladang akan menurunkan ketiga-tiga pemain importnya Michal Kubala dari Slovakia, Lazar Popovic dari Serbia dan Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon.

Ketua pasukan Semen Padang FC, Ferdinand Alfred Sinaga menyatakan bahawa kedatangan mereka ke Ipoh bukan untuk makan angin.

Sebaliknya beliau berkata, mereka berazam beraksi bersungguh-sungguh dan berusaha membawa pulang kemenangan.  

"Kami tetap menghormati Perak kerana mempunyai reputasi yang baik dalam saingan Liga Super di negara ini,'' jelas Sinaga.

Add your comment

Your name:
Your email:
Comment:
  The word for verification. Lowercase letters only with no spaces.
Word verification: