Skuad bola sepak kebangsaan mampu memperbaiki ranking dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya dapat menentang pasukan yang berkedudukan ranking lebih tinggi.
Namun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, perkara itu tidak berlaku kerana pasukan yang lebih baik daripada skuad Harimau Malaya lebih berminat menentang pasukan lain yang lebih baik untuk meningkatkan ranking mereka sendiri.
"Begitu juga dengan pasukan yang (ranking) lebih rendah daripada kita ingin bermain dengan pasukan kebangsaan itu disebabkan alasan sama. Itu caranya sekarang dan suka tidak suka, kita mesti beraksi dengan pasukan lebih baik daripada kita dan menang," titah baginda.
Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk terbaru syarikat pengimport peralatan kecergasan, UFL Sdn Bhd, iaitu Power Plate My7 di sini, Jumaat.
Beliau diminta mengulas kemerosotan ranking skuad Harimau Malaya ketika ini yang semakin merudum selepas menduduki tangga ke-156 dunia berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA awal bulan ini.
|
|