peraknews logo
Friday, 24 May 2013   14. Rejab 1434

perak-seladangPertarungan antara Sang Seladang dan Sang Kerbau Sirah akan menarik perhatian para peminat dari Perak dan Indonesia.    

Perak yang mendapat jolokan Sang Seladang dan Semen Padang dari Sumatera yang turut dikenali sebagai Sang Kerbau Sirah akan beraksi dalam perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh pada hari Ahad 
ini.

Perak yang sedang mengharungi Liga Super sudah pasti menerima tentangan sengit daripada pendahulu Liga Prima Indonesia, Semen Padang.

Perlawanan itu akan mempamerkan pertarungan strategi antara jurulatih Perak, Norizan Bakar dan jurulatih Semen Padang, Nil Maizar.

Skuad Seladang dijangka menyenaraikan tiga pemain importnya termasuk penyerang import terbaru, Albert Dominique Ebosso Bodjongo dari Cameroon.

Selain Bodjongo, penyerang Serbia, Lazar Popovic dan pemain tengah dari Slovakia, Michal Kubala akan menyarung jersi Seladang.

Kehadiran Bodjongo dalam perlawanan tersebut tetap menjadi perhatian kepada para penyokong Kejor Yeop Kejor kerana kali kedua penyerang dari Cameroon itu beraksi dengan skuad Seladang. 

Mereka ingin menantikan saat-saat Bodjongo menjaringkan gol pertama untuk Perak. 

Setiuasaha Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, penjaring terbanyak, Perak, Michal Kubala yang menyumbatkan sembilan gol akan bersama-sama bergandingan dengan Popovic dan Bodjongo.

Semen Padang juga mempunyai empat pemain import yang mantap seperti  David Pagbe dari Cameroon, Esteban Gabriel Vizcarra dari Argentina, Yoo Hyun Koo dari Korea dan Edward Junior Wilson dari Liberia.

Edward Junior dianggap penyerang berbisa setelah meledak sembilan gol untuk Semen Padang dalam Liga Prima Indonesia.

Sang Kerbau Sirah mempunyai enam pemain kebangsaan Indonesia bawah 23 tahun dan diperkuatkan oleh dua pemain kebangsaan Indonesia termasuk Elie Aiboy.   

Kelab Semen Padang sedang mendahului 12 pasukan lain dalam Liga Prima Indoensia dengan mengumpul 24 mata. 

Perak pula berada di tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 23 mata.

Orang ramai yang berminat menyaksikan perlawanan persahabatan itu boleh membeli tiket berharga RM15 ( berbumbung ), RM8.00 ( terbuka ) dan RM4.00 ( kanak-kanak bawah 12 tahun ) melalui kelab-kelab penyokong bola sepak Perak.

Kelab Semen Padang akan tiba di Ipoh pada hari ini dan menjalani latihan pemanas badan di Stadium Perak pada hari Sabtu jam 3.30 petang hingga 5.00 petang.

Add your comment

Your name:
Your email:
Comment:
  The word for verification. Lowercase letters only with no spaces.
Word verification: