Friday, 20 April 2012 09:39
Para pemain muda Perak digesa supaya lebih fokus agar hasrat ke suku akhir Liga Piala Presiden pada musim ini tidak terjejas.
Perak hanya mampu mengutip satu mata setelah mencatat keputusan seri 1 - 1 dengan Selangor di Shah Alam petang kelmarin.
Keputusan tersebut menyebabkan Perak jatuh ke tangga ketiga dengan mengumpul 42 mata selepas beraksi 19 perlawanan.
NS Betaria berjaya menduduki tangga kedua dengan kelebihan satu mata ( 43 mata ) dan PKNS terus kekal sebagai pendahulu liga dengan 48 mata.
Terengganu berada di tangga keempat dengan mengumpul 38 mata sama mata dengan Tentera yang berada di tangga kelima tetapi berbeza jaringan gol.
Para pemain muda perlu diingatkan bahawa empat pasukan teratas dari kumpulan A dan B akan layak ke pusingan suku akhir nanti.
Namun begitu, jurulatih, Abu Bakar Fadzim tetap berpuas hati dengan kejayaan anak buahnya membawa pulang satu mata.
"Mereka telah berjuang berhabisan bagi mendapatkan satu mata tersebut setelah ketiadaan dua tonggak utama,'' jelas Abu Bakar semalam.
Ketua pasukan, Nurridzuan Abu Hassan tidak dapat beraksi kerana menerima kad kuning di Ipoh pada hari Isnin lalu.
Selain itu, penyerang utama, Kenny Pallraj turut menjadi penonton setelah digantung satu perlawanan kerana kad kuning.
Abu Bakar memberitahu bahawa beliau sentiasa mengingatkan para pemain sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.
"Perjuangan mereka belum selesai kerana terdapat tujuh perlawanan lagi yang perlu diharungi,'' tegasnya.