Para penyokong Kejor Yeop Kejor mahukan penjaga gol utama, Nasril Nourdin direhatkan bagi mengembalikan prestasinya dalam aksi Liga Super yang semakin sengit.
Mereka berharap jurulatih, Norizan Bakar dapat memberi peluang kepada Khairul Amri Salehuddin atau Kamarul Effandy Abdul Rahim bagi mengawal gawang Perak.
Para penyokong berkenaan percaya Khairul Amri dan Kamarul Effandy mampu memberi persembahan terbaik jika kedua-duanya diberi peluang.
Mereka gelisah dengan persembahan kurang mantap yang dipamerkan oleh Nasril dalam beberapa perlawanan di Ipoh.
Antara kesilapan yang mengguriskan hati para penyokong Kejor Yeop Kejor semasa Perak tumpas 0 - 2 kepada Kelantan pada 7 Mac lalu.
Mereka beranggapan kedua-dua gol tersebut merupakan kesilapan Nasril yang gagal berada pada kedudukan yang betul semasa pihak lawan melakukan tendangan.
Insiden terbaru kesilapan Nasril semasa Perak menentang Sabah di Ipoh pada hari Selasa lalu.
Penjaga gol tersebut melakukan kesilapan apabila bola yang ditendangnya terus kepada penyerang berpengalaman, Zainizam Marjan.
Zainizam telah menggunakan peluang tersebut itu bagi mendapatkan gol kepada pasukannya dengan mudah sehingga membuatkan penyokong Perak terkedu.
Perak bernasib baik apabila Michal Kubala berjaya menjaringkan gol penyamaan 2 - 2 kira-kira beberapa saat sebelum pengadil meniup wisel penamat.
"Nasril yang pernah menyarung jersi negara sepatutnya tidak melakukan kesalahan sedemikian,'' jelas para penyokong berkenaan.
Mereka beranggapan prestasi Nasril mungkin kembali mantap jika direhatkan dalam beberapa perlawanan.
Perak tidak boleh kehilangan banyak mata dalam saingan pusingan kedua kerana semua pasukan sedang bersaing sengit bagi merebut kedudukan yang baik.
|
|